suria

Tony Pua Kitar Semula Tuduhan - Arul Kanda

Arul Kanda.

KUALA LUMPUR: Tuduhan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh Ahli Parlimen Tony Pua adalah yang dikitar semula, kata Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Arul Kanda.

"Kami perhatikan bahawa YB Tony Pua sekali lagi mengitar semula pelbagai tuduhan yang hakikatnya telah dijawab oleh 1MDB sejak Januari 2015 menerusi 48 kenyataan akhbar yang boleh didapatkan dengan mudah di laman web kami," katanya.

Selain itu, katanya, Ketua Audit Negara telah membentangkan laporan awal yang menjawab banyak soalan yang dibangkitkan, pada awal Julai 2015 kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang Tony Pua sendiri merupakan ahlinya, dan komited untuk mengeluarkan laporan akhir pada penghujung 2015.

Pua sudah pastinya menyedari bahawa 1MDB adalah syarikat yang paling disiasat di Malaysia, kata Arul Kanda.

"Kami telah berkongsi dan akan terus berkongsi, semua maklumat relevan kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan seperti Ketua Audit Negara, Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, PDRM (Polis Diraja Malaysia), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PAC, kata Arul Kanda dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata siasatan menyeluruh, bebas dan profesional ini merupakan forum yang sewajarnya untuk menentukan kebenaran tentang 1MDB.

Perbicaraan oleh media tertentu atau ahli politik pembangkang tertentu, di luar proses dan keperluan undang-undang, tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa, katanya, sambil menambah 1MDB amat menumpukan kepada pelaksanaan pelan rasionalisasinya yang sedang berjalan lancar meskipun tuduhan dikitar semula oleh Pua.

"Kami komited untuk menstabilkan syarikat, melangsaikan hutang kami dan menyediakan projek strategik yang penting kepada negara: Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia and Edra Energy Bhd," katanya.

1MDB, Tony Pua, Arul Kanda

Artikel Lain