suria

1MDB: Bank Negara Jalankan Siasatan Tidak Rasmi Selama Dua Tahun

Takimat mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua Malaysia oleh Dr Zeti dipenuhi media.

KUALA LUMPUR: Tanpa menyebut nama, bank pusat mendedahkan bahawa institusi perbankan itu membangkitkan kebimbangan mengenai 'entiti berpengaruh' dalam tempoh dua tahun lalu kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata bank pusat memantau entiti berpengaruh itu dalam penilaian tahunan terhadap sistem kewangan dan menjalankan 'siasatan tidak rasmi'.

Ditanya mengapa bank pusat hanya membuka siasatan rasmi pada Jun tahun lalu terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Zeti berkata entiti tersebut sudah menarik perhatian institusi tersebut lebih awal.

"Kami memantau mereka, kita berhubung dengan mereka, dan selama tempoh dua tahun sebenarnya, dan kami menulis dan menyerahkan laporan mengenai entiti itu," katanya dalam satu taklimat kepada media di sini, Khamis.

Zeti yang tidak menyebut nama 1MDB berkata 'entiti berpengaruh' itu akan dinilai semasa mesyuarat tahunan untuk menentukan sama ada hutang yang ditanggung memberi risiko kepada sistem kewangan.

Beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan di bawah bank pusat meneliti 'entiti berpengaruh' itu yang menunjukkan risiko.

"Jadi, apabila kami meneliti sebuah entiti berpengaruh itu, ia menimbulkan kebimbangkan.

"Dan kami turut memaklumkan kepada pelbagai pihak berkuasa bahawa mereka perlu menyedari perkara itu dan kami menulis laporan mengenainya. Kami memantau dan berhubung dengan entiti itu sendiri sepanjang tempoh ini," katanya.

Beliau berkata antara lain, jawatankuasa tersebut turut meneliti hutang isi rumah dan hutang lain yang menunjukkan risiko.

Katanya, siasatan fokus kepada syarikat asing dan aktiviti pelaburan antarabangsa.

Zeti menjelaskan Bank Negara menjalankan siasatan secara formal selepas menjadi sebahagian daripada pasukan petugas khas pada Jun lalu.

"Siasatan itu adalah yang paling panjang sekali kerana prosesnya agak kompleks.

"Kami menjalankan siasatan formal dengan mengambil keterangan daripada pelbagai individu terlibat dan meneliti beribu-ribu dokumen. Kami bekerja sepanjang masa. Sekarang ia sudah selesai," kata Zeti.

Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Peguam Negara yang baharu, Tan Sri Mohd Apandi Ali.

"Bank tersebut menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara dengan cadangan untuk tindakan yang sewajarnya. Dan saya mahu tegaskan bahawa institusi perbankan ini tidak dibenarkan membincangkan secara terbuka mengenai butiran siasatan.

"Jika kami dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), maka itu adalah satu-satunya jalan lain di mana bank negara akan dapat menjawab soalan-soalan mengenai siasatan kes ini," tegas Zeti.



Artikel Lain