suria

Wanita Ditemui Mati Di Hotel: Polis Kenal Pasti Identiti Teman Lelaki

IPOH: Polis sudah mengenal pasti identiti lelaki yang disyaki terbabit dalam kes seorang wanita tempatan ditemui mati dalam bilik sebuah hotel di Pekan Bharu, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP, Sum Chang Keong berkata suspek berusia awal 30-an merupakan teman lelaki kepada mangsa, Khaw Suat Chee, 28.

"Identiti lelaki itu telah dikenal pasti dan kita sedang melakukan siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh, di sini pada Rabu.

Pada 6 Ogos lepas, Khaw ditemui mati dalam keadaan lengkap berpakaian dan terbaring di atas katil hotel berkenaan.

Mangsa dikatakan mendaftar masuk dengan teman lelakinya pada 28 Julai hingga 3 Ogos sebelum lelaki itu menghilangkan diri.

Dalam perkembangan lain, Sum berkata seorang suri rumah kerugian kira-kira RM70,000 termasuk beberapa barangan berharga selepas rumahnya dipecah masuk di Taman Kinta Emas, Bercham di sini, Ahad lepas.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa, 52, tiada di rumah kerana pergi melawat saudaranya di Kuala Lumpur, pada petang Ahad dan hanya pulang keesokan harinya.

"Apabila mangsa pulang semula ke rumah, dia mendapati dua kereta miliknya jenis Myvi dan Naza Sutera serta barangan seperti televisyen, komputer dan lain-lain telah hilang.

"Terdapat kesan umpilan pada pintu depan rumah," katanya.

Beliau berkata tiada kamera pengawasan serta bunyi penggera dilaporkan di rumah tersebut pada hari kejadian.

Sementara itu, Sum berkata pihaknya kini dalam proses menjadikan bandaraya Ipoh sebagai bandar raya yang aman serta bebas daripada jenayah dan pada masa sama, menasihati pegawai dan anggotanya untuk menjaga hubungan baik dengan masyarakat.

"Kadar jenayah di kawasan IPD Ipoh menunjukkan penurunan sebanyak 14.48 peratus iaitu 1,417 kes setakat ini berbanding 1,657 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Tahun ini ialah tahun ketujuh menunjukkan penurunan kadar jenayah ini. Kita harap penurunan ini kekal pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, Sum turut menyampaikan sijil penghargaan kepada enam anggota polis yang berkhidmat dengan cemerlang ketika pertabalan Sultan Perak,  Sultan Nazrin Shah, Mei lalu.

Hotel, Mati

Artikel Lain