suria

Najib Tiba Di Brunei Untuk Rundingan Tahunan

Datuk Seri Najib Tun Razak
BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini malam Isnin untuk mengadakan lawatan kerja ke Brunei Darussalam bersempena Rundingan Tahunan Pemimpin kali Ke-19 bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kira-kira 12.15 tengah malam disambut oleh Menteri Pendidikan Brunei, Datuk Seri Dr Awang Abu Bakar Apong.

Turut hadir di lapangan terbang itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei, Datuk Awang Sahak Awang Salleh.

Pagi Selasa, Perdana Menteri akan ke Istana Nurul Iman bagi menghadiri Rundingan Tahunan ke-19 dengan Sultan Brunei dan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan global.

Rundingan tahunan itu akan dimulakan dengan Sultan Brunei menerima mengadap Perdana Menteri.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian dokumen-dokumen antara kedua-dua negara. 

Najib dan rombongan kemudiannya akan menghadiri majlis santapan tengah hari yang dihoskan oleh Sultan Brunei.

Siri Rundingan Tahunan Antara Ketua-Ketua Kerajaan Malaysia dan Brunei diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi Rundingan Tahunan Ke-18 di Putrajaya pada 3 Nov 2014.


Artikel Lain