suria

Kertas Siasatan MT Orkim Harmony Siap Untuk Pendakwaan

PULAU TIOMAN: Kertas siasatan berhubung kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony kini telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu proses ekstradisi kelapan-lapan suspek terlibat dari Vietnam ke Malaysia untuk tujuan pendakwaan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, beliau bersama lima pegawai agensi itu telah ke Hanoi, Vietnam baru-baru ini untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu.

"Kita telah temui lapan penjenayah tersebut dengan kerjasama Vietnam Coast Guard dan ambil maklumat termasuk cap jari dan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) serta maklumat peralatan perhubungan yang mereka gunakan.

Kini kita hanya menunggu Pejabat Peguam Negara, Kementerian Luar serta kelulusan daripada kerajaan Vietnam (untuk) proses ekstradisi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Kerjasama APMM dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, Jumaat.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Perniagaan BSN Ahmad Latfan Mohd Amran.

Beliau yang mengulas tentang perkembangan kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony pada 11 Jun lepas berkata, masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan oleh kerajaan Vietnam sebelum menyerah kelapan-lapan suspek kepada pihak berkuasa Malaysia.

Dalam masa yang sama, katanya kerajaan Vietnam juga telah menyatakan persetujuan untuk menjadi saksi pendakwaan kes itu jika diperlukan.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilapor hilang pada pukul 8.57 malam pada 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka menuju Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Lapan suspek kemudiannya ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam pada 19 Jun.   Sementara itu, Ahmad Puzi berkata sejak 2011, APMM telah berjaya mendakwa seramai 40 suspek yang terlibat dalam kegiatan rompakan kapal di sekitar perairan negara.

MT Orkim Harmony

Artikel Sebelum

Artikel Lain