suria

Amaran SKMM: Jangan Siar Laporan Palsu, Tak Tepat & Tak Sahih

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyiarkan laporan palsu, tidak tepat, atau menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya.

Menerusi kenyataan SKMM, ia termasuk sebarang kandungan yang disiarkan di media sosial dan tindakan memaparkan semula laporan atau maklumat daripada sumber lain yang belum ditentukan kesahihannya.

"Tindakan boleh dikenakan kerana perbuatan sedemikian berkemungkinan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Sehubungan itu, SKMM memanggil pengarang portal berita dalam talian untuk mengingatkan bahawa sebarang pemberitaan yang palsu atau tidak tepat, ataupun penyebaran maklumat palsu, boleh menggugat keamanan dan keharmonian sesebuah negara, terutamanya ekonomi dan keselamatan nasional.

Pengarang-pengarang portal berita dalam talian telah dimaklumkan bahawa The Sarawak Report telah disekat SKMM mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, setelah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam.

Bagaimanapun, SKMM kesal dengan tajuk utama dan artikel yang disiarkan beberapa portal berita dalam talian yang jelas menyimpang daripada konteks sebenar.

Sehubungan itu, kenyataan Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin yang disiarkan dalam beberapa portal berita dalam talian, perlu dilihat dari konteks ia adalah siasatan berterusan polis dan Pasukan Petugas Khas, bukan pengesahan bahawa tidak ada bukti laporan The Sarawak Report adalah palsu.

Dalam hal ini, tajuk-tajuk utama dan artikel oleh beberapa portal berita dalam talian berhubung isu ini, adalah kurang tepat.

Mana-mana pihak yang didapati memaparkan semula bahan daripada The Sarawak Report, yang disekat, adalah juga tertakluk kepada tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarang portal berita dalam talian yang hadir di SKMM pada Jumaat termasuk pengarang dan wakil-wakil dari The Malaysian Insider, Malaysiakini, Digital News Asia, Astroawani.com, NST Online, Sinar Online, The Rakyat Post, Utusan Online, The Malaysian Reserve Online dan The Star Online.



SKMM, Sarawak Report

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain