suria

Kerajaan Tidak Sekali-Kali Benarkan Ekstremis Agama Cetus Konflik Kaum - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di majlis jamuan Perdamaian dan Harmoni Kebangsaan, Selasa malam.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak sekali-kali membenarkan ekstremis dalam mana-mana agama mencetuskan konflik perkauman di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sesetengah orang mengguna dan menyalahguna agama untuk mencapai matlamat mereka.

"Itu yang perlu kita hadapi, tangani dan tolak secara total," kata beliau dalam ucapannya pada Majlis Jamuan Perdamaian dan Harmoni Kebangsaan sempena pelancaran Christian for Peace and Harmony in Malaysia Movement (CPHM) (Gerakan Kristian untuk Perdamaian dan Harmoni di Malaysia) di sini Selasa malam.

Najib berkata, ruang demokrasi mesti disediakan dalam negara tetapi perlu ada had untuk itu dan proses itu mestilah secara sihat dan ia tidak harus membawa kepada konflik.

CPHM merupakan gerakan akar umbi yang diasaskan oleh sekumpulan pemimpin Kristian yang prihatin untuk memupuk suasana saling menghormati, bertoleransi dan menerima antara warganegara dari pelbagai latarbelakang etnik dan agama menerusi pemupukan perdamaian dan harmoni dalam negara.

Perdana Menteri juga berkata, rakyat Malaysia memiliki asas sama yang boleh menyatukan semua dan tiada siapa yang berhak dipanggil "pendatang" sambil merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan, Perkasa.

"Saya percaya Perkasa juga ada di sini. Perkasa, di mana kamu, saya haram kamu akan berlembut sedikit," katanya.

Najib berkata, beliau tidak percaya bergaduh dan memanggil seseorang itu dengan nama tertentu sebaliknya lebih baik berbincang untuk menyelesaikan sebarang ketidaksefahaman.


ekstremis, Perdana Menteri, CPHM

Artikel Lain