suria

Laungan "Hidup Tan Sri" Sambut Kepulangan Muhyiddin

Muhyiddin disambut penyokongnya sebaik tiba di KLIA selepas bercuti di Australia sejak 26 Mei lalu.

SEPANG: "Good," demikian reaksi ringkas Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada sekumpulan wakil media yang menunggu ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Selasa malam.

Sambil tersenyum, Timbalan Perdana Menteri itu memberi reaksi spontan itu ketika ditanya tentang percutiannya di Australia sejak 26 Mei lalu.

Timbalan Presiden Umno juga sekadar menggeleng kepala apabila wartawan bertanya apakah benar beliau enggan menjawab sebarang soalan yang dikemukakan.

Muhyiddin dilihat keluar dari bilik khas KLIA kira-kira pukul 9.35 malam diiringi pengawal dan anggota keselamatan serta sekumpulan penyokongnya yang menunggu sejak pukul 7 malam.

Terdahulu Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim memberitahu, Muhyiddin tidak akan bercakap kepada pihak media.

Kepulangan Muhyiddin kali ini diberi sambutan 'luar biasa' selepas tersebar berita kononnya beliau akan menyatakan pendirian berhubung kedudukannya dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib sebelum ini dikatakan memberi kata dua kepada barisan menterinya yang menentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu.

Perdana Menteri dilaporkan memberitahu anggota kabinet sama ada "berada di sisinya atau meletak jawatan".

Sementara itu, di luar terminal KLIA, Muhyiddin disambut dengan sorakan penyokongnya dengan laungan "Hidup Tan Sri", "Ini kali lah Tan Sri", "Tukar Tan Sri" dan "Selamatkan Malaysia".

Kumpulan penyokong itu dipercayai dikalangan ahli Umno dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mesra kerajaan.


Muhyiddin Yassin, KLIA, Australia

Artikel Lain