suria

Kurang 25 Peratus Anggota KWSP Capai Kuantum Simpanan Asas Pada 54 Tahun

KUALA LUMPUR: Hanya 22 peratus daripada 14.19 juta anggota Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang aktif, sehingga 31 Disember 2014, mencapai kuantum simpanan asas pada usia 54 tahun.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata, jumlah itu menunjukkan bahawa ramai anggota KWSP tidak mempunyai simpanan untuk persaraan yang mencukupi apabila mencapai umur 55 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan alasan itu KWSP telah memperhalusi cadangan untuk menyelaraskan pengeluaran penuh pada umur 60 tahun.

"Rasional menaikkan had pengeluaran ini juga adalah bagi menangani isu berkaitan ketidakcukupan simpanan persaraan dalam kalangan ahli dalam jangka panjang disebabkan faktor jangka hayat, tempoh persaraan meningkat, peningkatan kos sara hidup dan wang simpanan tak cukup untuk menampung tempoh persaraan.

"KWSP telah melaksanakan rundingan awam bagi dapat maklum balas ahli ... dan 94.4 peratus (responden) yang terlibat telah memilih untuk kekalkan had pengeluaran penuh pada usia 55 tahun," katanya ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

Johari bertanya rasional dan justifikasi KWSP untuk menaikkan had pengeluaran penuh daripada 55 tahun kepada 60 tahun.

Menjelas lanjut, Chua berkata kerajaan pada 23 April lepas telah mengumumkan bahawa umur pengeluaran penuh simpanan anggota dikekalkan 55 tahun, manakala caruman baharu bagi anggota yang masih bekerja selepas umur 55 tahun boleh dikeluarkan pada 60 tahun.

"KWSP akan memastikan sebarang pindaan atau keputusan yang dibuat adalah mengambil kira kepentingan ahli dan semua pihak berkepentingan utama.

"Langkah ini bagi memastikan KWSP terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia," katanya.

Menjawab soalan tambahan Johari, sama ada dibenarkan pengeluaran bagi Akaun Satu KWSP untuk pelaburan seperti membeli rumah, Chua berkata cadangan itu perlu diteliti kerana ia mempunyai implikasi yang besar kerana wang itu khusus untuk persaraan.

"Perlu dikaji jika guna sekarang sama ada betul-betul memberi manfaat atau jadi masalah. Rumah ada, wang tiada semasa bersara, jadi ia perlu diseimbang dan dikaji sebelum buat keputusan," katanya.-- Bernama

Chua Tee Yong, KWSP, Dewan Rakyat

Artikel Lain