suria

KWAP, KWSP Labur Lebih RM3 Bilion Dalam 1MDB

KUALA LUMPUR: Kerajaan mendedahkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mempunyai pelaburan dan pegangan dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM1.4 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sehingga 31 Mac lalu, KWAP mempunyai pelaburan dan pegangan dalam empat anak syarikat 1MDB iaitu Bandar Malaysia Sdn Bhd, 1MDB Energy Limited, 1MDB Global Investment Limited, dan Jimah Energy Ventures Bhd.

Selain itu, menerusi jawapan bertulis kepada Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Kumpulan Wang SImpanan Pekerja (KWSP) turut melanggan bon terbitan 1MDB berjumlah RM200 juta pada 2009.

“Selain itu, KWSP turut mempunyai pendedahan pelaburan terhadap anak syarikat 1MDB iaitu Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan Jimah Energy Ventures Sdn Bhd yang berjumlah RM1.52 bilion.

"Penglibatan pelaburan KWSP di dalam anak syarikat tersebut berlaku pada 2003 (PPSB) dan 2005 (JEV), iaitu sebelum pengambil alihan oleh 1MDB ke atas PPSB dan JEV, masing-masing pada 2012 dan 2014,” katanya.

Terdahulu Rafizi yang juga Setiausaha Agung dan Naib Presiden PKR bertanya kepada Kementerian Kewangan mengenai maklumat terperinci pelaburan dan pegangan (ekuiti, bon, pinjaman, dan lain-lain) oleh KWSP dan KWAP di dalam 1MDB dan anak-anak syarikatnya, termasuk bekas anak syarikat iaitu SRC International Sdn Bhd) setakat 31 Mac 2015.


KWSP, KWAP, 1MDB

Artikel Lain