suria

Sultan Kelantan Lancar Tabung Bencana Diraja Bantu Mangsa Banjir

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan melancarkan Tabung Bencana D'Raja Kelantan pada majlis santapan malam 'Walk With Me' anjuran Pertubuhan Kerabat DiRaja Kelantan Al-Muhammadi di Kuala Lumpur, Jumaat malam. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada Jumaat berkenan melancarkan Tabung Bencana Diraja bagi membantu rakyat Kelantan yang terjejas dengan banjir besar pada Disember tahun lepas. 

Tabung itu dilancarkan sempena majlis santapan malam 'Walk with Me 2015' yang dianjurkan Pertubuhan Kerabat D'raja Kelantan Al-Muhammadi di sini Jumaat malam.

Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. 

Pengerusi majlis Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Sultan Ibrahim berkata, majlis itu merupakan acara amal bagi menggalakkan penyertaan rakyat dan syarikat korporat yang prihatin untuk turut membantu. 

"Hampir setiap tahun Kelantan dilanda banjir di mana tahun lalu merupakan yang terburuk dan melibatkan kerosakan berskala besar. Justeru sebanyak mungkin dana masih diperlukan bagi proses baik pulih.

"Tambahan pula Kelantan bakal berdepan musim tengkujuh pada penghujung tahun ini. Oleh itu pelbagai persiapan perlu dilakukan bagi menghadapi banyak kerosakan dan kemusnahan," katanya. 

Tabung yang dibuka sepanjang tahun itu membolehkan orang ramai untuk menderma melalui akaun bank atas nama Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan melalui nombor akaun (Bank Islam) 03036010053595. 

Menurut Tengku Abdul Halim, setakat Jumaat malam kutipan permulaan berjumlah RM1.072 juta berbentuk wang tunai berjaya dikumpul daripada 13 penderma utama yang akan disalurkan kepada penerima dalam bentuk bantuan kewangan, makanan, pakaian dan kos membaik pulih rumah. 

Selain majlis santapan, Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi akan turut menganjurkan walkathon diraja 'Walk with Me' selama tiga hari bermula 7 Mei di Kota Baharu, Kelantan bagi mengeratkan silaturrahim antara golongan kerabat dan rakyat. 

Pada program itu, rakyat berpeluang berjalan bersama Sultan Kelantan sepanjang enam kilometer dari Stadium Sultan Muhammad Ke-1V menuju Jambatan Sultan Yahya Petra sebelum berakhir di stadium yang sama.

sultan kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain