suria

PRK Pmtg Pauh: Pakatan Rakyat Bimbang Majoriti Menurun

BUKIT MERTAJAM: Memasuki pusingan kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, kebimbangan untuk mengekalkan kemenangan dengan majoriti tinggi mula dirasai pakatan pembangkang.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Salleh Man yakin pengurangan majoriti yang bakal dialami Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi berkenaan tiada kaitan dengan dakwaan berlakunya ‘pecah undi’ di kalangan pengundi Melayu.

Malah Salleh juga menafikan wujud usaha terancang di kalangan pengundi PAS sendiri untuk merosakkan undi sebagai tanda protes kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menolak pelaksanaan hudud.

"Saya tak nafikan mungkin berlaku sedikit pengurangan majoriti, tapi ia mungkin sebab hari pengundian dibuat pada hari bekerja.

"Tapi saya yakin atas dasar tanggungjawab, mereka akan tunaikan (mengundi). Saya tak rasa ada cubaan untuk merosakkan undi, sebab bukan senang nak dapat peluang pilihan raya," katanya ketika ditemui mStar Online di Taman Ciku yang terletak dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Cross Street di sini, Jumaat malam

Selain itu Salleh yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, beliau yakin DUN Permatang Pasir yang merupakan kubu kuat PAS di kawasan ini sukar ditembusi parti lawan daripada Barisan Nasional (BN).

"Saya mengharapkan semua pengundi dapat menunaikan tanggungjawab turun mengundi, sebab kita nak tingkatkan prestasi khususnya di Permatang Pasir.

"Kita nak buktikan bahawa Permatang Pasir ada kemampuan untuk bagi sokongan kepada calon PKR," katanya.

Permatang Pasir dianggap 'kawasan hitam' bagi BN apabila parti pemerintah itu kalah di semua sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terletak dalam kawasan DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Kerusi berkenaan sudah dimenangi PAS sejak 1999 sebelum wujudnya Pakatan Rakyat.

DUN Permatang Pasir mempunyai 22,815 pengundi dan pada PRU-13, Salleh menang bergaya di kerusi berkenaan dengan majoriti 6,826 undi.

Selain itu menurut Salleh, PKR tidak boleh hanya mengharapkan sokongan ahli parti dalam komponen pakatan pembangkang semata-mata sebaliknya perlu memenangi hati kira-kita 71,000 pengundi dalam Parlimen Permatang Pauh.

"Mana-mana parti pun tak banyak keahlian. Namun ia bergantung kepada penyokong yang boleh memenangkan parti tertentu.

"Saya yakin rakyat dan masyarakat pada hari ini dapat memahami tugas dan peranan mereka supaya buat sesuatu untuk melakukan perubahan," katanya.

Permatang Pauh, PKR, PAS, DAP

Artikel Sebelum

Artikel Lain