suria

YouTube Sekat Video Alvin Tan Hina Azan

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta YouTube and Facebook untuk mengeluarkan video menghina azan yang dimuatnaik penulis blog kontroversi, Alvin Tan.

Pemantauan pihak SKMM mendapati video berkenaan telah dimuat naik beberapa kali di YouTube.

Susulan itu, pihak YouTube telah menyekat video yang dimuatnaik Tan pada 21 April lalu kepada penonton di Malaysia pada Selasa, manakala di pihak Facebook pula, SKMM masih berurusan untuk mengeluarkannya.

"Ketika ini SKMM sedang memantau penyebaran video tersebut dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan dalam media sosial, atau dalam aplikasi pesanan kerana ia melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata suruhanjaya itu.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terkesan dengan kelakuan tidak bermoral dan boleh menganggu gugat keamanan dan keharmonian negara.

Lelaki berusia 27 tahun ini melarikan diri ke luar negara tahun lalu dan mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat (AS) bagi mengelak daripada ditahan polis kerana membuat penghinaan terhadap Islam dan Raja-Raja Melayu.

Pasport Tan turut dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada Disember tahun lalu.

Tan, memuat naik video berdurasi 50 minit pada Selasa di akaun Facebooknya, memaparkan dirinya dalam keadaan tidak berbaju 'menyanyikan' Azan sambil bermain keyboard.

Video berkenaan dikongsi lebih 7,000 kali, mendapat 1,500 tanda 'like' dan 300,000 tontonan.

SKMM, Alvin Tan, azan

Artikel Sebelum

Artikel Lain