suria

Hasan Bukan Calang-Calang Ahli Politik

Pengalaman dalam politik sejak sertai Umno pada 1976 banyak membantu Hasan (kanan) untuk mendekati pengundi pada PRK Parlimen Rompin.

ROMPIN: Calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin bukan satu nama asing di kalangan penduduk di daerah ini.

Sebut saja namanya, pasti ada yang berterima kasih diatas pembangunan yang dibawanya semasa menjadi Timbalan Menteri Besar Pahang dan wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Bukit Ibam.

Malah, pemilihan Hasan yang berasal dari Kampung Ayau, Leban Chondong di sini menepati aspirasi penduduk Rompin yang mahukan anak tempatan mewakili suara mereka di Parlimen.

Walaupun berusia 62 tahun, Hasan bukan calang-calang ahli politik berdasarkan pengalamannya memegang beberapa jawatan penting di dalam parti sejak menyertai Umno pada 1976.

Menerusi beberapa siri program turun padang di sekitar Rompin, antara kata-kata yang sering ditekankan Hasan adalah berjanji akan terus membangunkan asas yang telah dibina penyandang Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis sejak enam penggal lalu.

"Legasi arwah (Jamaluddin Jarjis) dalam membangunkan Rompin Insya-Allah akan diteruskan sekiranya saya diberikan mandat pada 5 Mei nanti. Ada banyak perkara yang ingin saya lakukan di sini dalam usaha untuk memacu pembangunan rakyat," katanya.

Malah, beliau turut berazam untuk membela nasib hampir 7,000 masyarakat Orang Asli terutamanya meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan pendidikan mereka.

"Kita tidak lupakan mereka (Orang Asli). Kita akan bantu meningkatkan pendidikan dan taraf pembangunan sosio-ekonomi golongan ini," katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri telah membina rumah untuk masyarakat tersebut di tiga kawasan Rancangan Penempatan Semula Orang Asli (RPS) iaitu di Bukit Serok, Kedaik dan Buluh Nipis di daerah ini.

Hasan (tengah) beramah mesra dengan warga Orang Asli Kampung Gadak, Isnin. 

Mengenai isu air bersih untuk masyarakat itu, Hasan berkata kerajaan telah melantik satu syarikat baharu yang menyediakan bekalan air melalui sistem solar yang kini hampir 70 peratus siap.

"Apabila siap nanti, semua penduduk Orang Asli di kawasan luar bandar akan dapat menikmati air bersih," katanya.

Walaupun BN menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Hasan enggan mendabik dada sebaliknya menganggap calon PAS, Nazri Ahmad mempunyai kekuatan tersendiri.

"Kita tak boleh selesa... jangan ambil mudah PRK ini. Apapun kita akan berusaha untuk meningkatkan atau mengekalkan majoriti undi," katanya.

Ketika ditanya mengenai isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Felda yang digunakan pembangkang untuk meraih sokongan pengundi, Hasan berkata, beliau sendiri dengan dibantu jentera kempen BN akan memberi penjelasan kepada rakyat.

Malah, Hasan berkata, pendekatan kempennya lebih tertumpu kepada sesi bersemuka dengan pengundi di gerai, kunjungan dari rumah ke rumah dan ceramah kelompok.

Ditanya mengenai harapannya pada 5 Mei ini, beliau mahu pengundi di Rompin membuat pilihan yang tepat untuk memastikan kesinambungan legasi Jamaluddin.

"Buat pertimbangan yang sewajarnya. Jangan terpedaya dengan dakyah pembangkang. Berilah saya peluang sekali lagi kerana Rompin amat dekat di hati saya," katanya.

Artikel Lain