suria

Kebakaran Asrama Moscow: Pelajar Malaysia Keluar ICU

KUALA LUMPUR: Kegembiraan menyelubungi keluarga Zainal Ramli, selepas dimaklumkan bahawa anaknya Zainal Nastaiin yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kini menjalani rawatan di wad biasa.

Pelajar tahun pertama perubatan itu ditempatkan di ICU Hospital Sklifosovskogo kerana melecur teruk dalam kebakaran di asrama Russian National Research Medical University (RNRMU) di Moscow, Rabu lepas.

Menurut Zainal, 53, wakil dari Kedutaan Malaysia di Moscow telah memaklumkan beliau pada Isnin bahawa keadaan anaknya kini stabil dan lebih baik.

"Kedutaan memaklumkan kepada saya bahawa anak saya sudah boleh bercakap dan makan. Allhamdulillah saya fikir Allah telah mengabulkan doa (keluarga) kami dan juga berdoa semoga Nastaiin akan pulih secara fizikal dan mental tidak lama lagi.

"Tetapi saya masih mahu melihatnya dengan mata saya sendiri, itu yang saya mahu. Saya mahu lihat anak saya," katanya kepada Bernama di sini malam Isnin.

Ketika ditanya sama ada Wisma Putra (Kementerian Luar) telah memberi visa kepada beliau dan anak sulungnya untuk berlepas ke Moscow, Zainal berkata, visa belum siap, namun beliau percaya Wisma Putra sedang berusaha untuk mendapatkannya secepat mungkin.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, beliau juga mengadakan majlis doa selamat di rumah mereka di Kuala Kangsar, Perak, Sabtu lepas.

Selain Nastaiin, empat lagi pelajar Malaysia masih menjalani rawatan kerana keracunan karbon monoksida dan melecur.  

Pada Sabtu lepas, Bernama melaporkan Zainal berasa sedih selepas menerima berita bahawa anaknya ialah antara 21 pelajar Malaysia yang terbabit dalam kebakaran asrama di universiti itu.

Artikel Lain