suria

Wanita Buat-Buat Pengsan Elak Dicekup

Ops Bah menyasarkan pusat hiburan yang terdedah dengan pelbagai gejala tidak sah seperti perjudian, pelacuran dan dadah. Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR: Tiga orang wanita berpura-pura pengsan untuk mengelak daripada dicekup ketika Ops Bah dijalankan bagi membanteras judi, penyalahgunaan dadah serta salah laku di sebuah premis hiburan di Bukit Bintang di sini awal pagi Sabtu.

Mereka adalah antara 15 orang yang ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang diadakan termasuk di sebuah lagi premis hiburan di Segambut.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Nor 'Aini Abd Wahab, ketiga-tiganya dalam lingkungan usia awal 20-an membuat helah itu bagi mengelakkan diri daripada diperiksa oleh pihak berkuasa.

"Namun setelah diperiksa, ketiga-tiganya didapati sihat dan telah mengambil pil khayal jenis 'Ice'," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, terdapat pelanggan yang cuba melarikan diri setelah menyedari pusat hiburan diserbu pihak berkuasa namun mereka berjaya dihalang pihak polis.

"Pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen di kedua-dua pusat hiburan itu berjaya menahan 18 lagi individu atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri serta tinggal di negara ini melebihi tamat tempoh yang dibenarkan. Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 200), kata Noraini.

Beliau berkata, pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) pula merampas 138 botol minuman keras pelbagai jenama atas kesalahan mempamerkan barangan tanpa cukai di bawah Seksyen 114 Akta Kastam 1967.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga menyita tujuh gambar berunsur lucah daripada kedua-dua premis di bawah Seksyen 46 (1) Akta Hiburan (WPK) 1992," katanya.

Ops Bah KL kali ke-11 ini disertai 363 anggota yang diketuai Kementerian Wilayah Persekutuan serta enam agensi kerajaan termasuk beberapa badan bukan kerajaan.

Ops Bah, Nor 'Aini Abd Wahab, Ice

Artikel Lain