suria

Najib Tinjau Persiapan Sidang Kemuncak Asean

Najib diiringi Anifah meninjau lokasi berlangsungnya Sidang Kemuncak Asean yang akan bermula Isnin.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat venue Sidang Kemuncak Asean Ke-26 bagi melihat persiapan menjelang mesyuarat para pemimpin serantau yang akan dipengerusikan buat kali keempat oleh Malaysia.

Pelbagai acara telah diatur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mendahului majlis perasmian pada Isnin, termasuk majlis makan malam gala pada malam sebelumnya bagi meraikan para pemimpin Asean yang menghadiri sidang kemuncak tahunan itu.

Semasa lawatan ke KLCC itu, Najib diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perdana Menteri melawat Dewan Pleno KLCC di mana perasmian sidang kemuncak yang akan berlangsung selama dua hari mulai 26 April.

Beliau dilihat meninjau, antaranya susunan tempat duduk para pemimpin serta sistem audio.

Perdana Menteri, yang kemudiannya disertai isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, juga diberi taklimat mengenai apa yang diatur pada majlis makan malam gala yang dihoskan beliau dan Rosmah.

Najib dan isteri, Rosmah bermesra dengan penari yang membuat persembahan pada majlis makan malam gala sempena Sidang Kemuncak Asean.

Semasa ditanya pemberita mengenai raptai persembahan yang disediakan pada majlis makan malam gala berkenaan, Najib menyatakan rasa puas hatinya dengan berkata: "Saya gembira dengan persembahan itu. Ia menarik."

Sidang kemuncak berkenaan akan didahului dengan siri mesyuarat awal pada Ahad, termasuk Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean di mana Malaysia akan diwakili Anifah.

Program pada Ahad juga termasuk Forum Kepimpinan Asean Ke-12.

Sidang Kemuncak pada 26-27 April diadakan di dua lokasi iaitu di ibu negara, Kuala Lumpur dan pulau Langkawi di utara negara.

Ditubuhkan pada 1967, Asean terdiri daripada 10 negara, iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura,  Thailand dan Vietnam.

Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak Asean pada tahun 1977, 1997 dan 2005.-- Bernama

Artikel Lain