suria

Kemelut PAS-PKR:"Tak Ada Permintaan Untuk Minta Maaf Pun"

Azmin Ali

BUKIT MERTAJAM: Disebalik sokongan saat akhir PAS Kawasan Permatang Pauh terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR), timbul persoalan mengenai siapa yang sebenarnya berbohong dalam proses penyelesaian kemelut dua sekutu pakatan pembangkang itu.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa tiada sebarang permohonan maaf dibuat parti itu terhadap PAS berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan yang menjadi punca perbalahan mereka selama ini.

“Tak ada..tak ada permintaan untuk minta maaf pun. Semalam (Jumaat) adalah majlis untuk beri penjelasan. Jangan media cuba memutar belitkan (fakta).

“Apa yang berlaku semalam ialah PAS meminta penjelasan daripada PKR dan kita juga meminta penjelasan daripada PAS.

“Kedua-dua parti beri penjelasan dan kita terima penjelasan dengan baik dan bersetuju supaya agenda kita untuk menangkan calon kita di Permatang Pauh,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Permatang Pauh di sini, Sabtu.

Bagaimanapun versi berbeza muncul di pihak PAS apabila Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan mengesahkan bahawa PKR memohon maaf kepada parti itu dalam pertemuan tertutup yang di adakan di sebuah hotel di Seberang Jaya itu.

Omar yang turut hadir bagi menyokong pencalonan Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini berkata demikian ketika ditemui pemberita.

"Dah selesai, PKR dah minta maaf dan kami terima penjelasan mereka,” kata Omar.

Sehubungan itu, Omar berkata, jentera PAS kawasannya siap sedia untuk membantu kempen PKR yang bermula secara rasmi pada Sabtu.

Sebelum ini, PAS kawasan itu mengumumkan untuk memboikot kempen PRK Permatang Pauh sehingga PKR menarik balik dan meminta maaf berhubung kenyataan menolak hudud.



PAS, PKR, Permatang Pauh, Azmin Ali

Artikel Lain