suria

Semakan Gaji Kakitangan Awam Jadi Keutamaan Kerajaan

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyampaikan Anugerah Khas Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Sabah Delin Liet Anak Blaun sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Datuk Seri Othman Mahmood (tengah) pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi keutamaan terhadap semakan gaji bagi 3,072 penjawat awam kumpulan Gred 11 dan akan mengumumnya pada penghujung tahun ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, ketika ini kerajaan masih lagi mengkaji memorandum yang diterima daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam(Cuepacs) mengenai kenaikan gaji tersebut.

"Pihak Cuepacs telah menuntut agar kerajaan menaikkan gaji penjawat awam yang berjumlah RM850 sebulan.

"Daripada kajian yang dibuat setakat ini, seramai 3,072 kakitangan awam Gred 11 menerima jumlah gaji tersebut.

"Kerajaan telah berbincang dan masih mengkaji mengenai isu ini. Kami kami akan cuba mengatasinya serta mengumumkan hasilnya pada penghujung tahun," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri 2014 di sini, Khamis.

Menurut beliau, permohonan Cuepacs itu perlu dipertimbang sewajarnya berikutan impak Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap perbelanjaan isi rumah kakitangan awam.

"Bagaimanapun kenaikkan gaji itu berpandu kepada hasil negara. Jika kedudukan hasil negara lebih baik, maknanya penjawat awam perlu mendapat hasil itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Ali yang baru dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia(PR1MA) menjelaskan harga bagi rumah-rumah mampu milik itu dikekalkan.

"Harga bagi sesebuah rumah telah ditetapkan dan masih dalam lingkungan RM100,000 hingga RM400,000 dan harga itu juga bergantung kepada kawasan perumahan tersebut.

"Setakat ini kami telah mengenal pasti beberapa kawasan bagi pembinaan rumah PR1MA. Apa yang penting kini ialah memastikan pembinaan rumah-rumah ini berjalan dengan lancar," katanya.

Cuepacs, PR1MA

Artikel Berikut

Artikel Lain