suria

PRK Pmtg Pauh: Muhyiddin Umum Calon BN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) menyerahkan surat pentauliahan kepada Suhaimi Sabudin yang dinamakan sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh (tengah) sambil disaksikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid di Bandar Perda pada Khamis.

PERMATANG PAUH: Teka-teki mengenai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh terjawab apabila anak jati kawasan itu, Suhaimi Sabudin, 43, diumumkan bertanding mewakili parti berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan pada 7 Mei ini.

Suhaimi yang juga Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh tidak asing lagi dikalangan penduduk setempat.

Ahli perniagaan yang mempunyai kelayakan akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga merupakan  ahli Umno Cawangan Guar Jering di sini.

Pengumuman Suhaimi sebagai calon BN di Permatang Pauh diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN di Bandar Perda di sini, Khamis.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Jentera BN Permatang Pauh yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel; Naib Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datin Paduka Chew Mei Fun serta pimpinan parti komponen BN.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan menolak petisyen pengampunan Diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ahli keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, manakala penamaan calon 25 April dan pengundian awal pada 3 Mei.

Permatang Pauh, BN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain