suria

Lebih Banyak Kenderaan Klon Akan Diburu JPJ-SPRM

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan mengesan lebih banyak kenderaan klon melalui operasi besar-besaran yang sedang dijalankan jabatan itu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata operasi berkenaan dilaksanakan di setiap negeri dan siasatan menyeluruh turut dilakukan bagi mengesan individu yang terlibat dalam sindiket berkenaan.

"Kita sedang menggerakkan operasi di seluruh negara, kemungkinan lebih banyak kenderaan klon akan disita tetapi ia bergantung pada siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari JPJ Peringkat Negeri Melaka di Bukit Katil di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini berhubung 153 buah kenderaan klon yang disita dalam operasi besar-besaran hasil kerjasama dua agensi itu sejak lima bulan lepas.

Dua hari lepas, beliau berkata semua kenderaan klon yang terdiri daripada kereta mewah antaranya Mini Cooper, Lexus, BMW dan Mazda diseludup dari Singapura untuk dijual di negara ini pada harga antara RM20,000 hingga RM50,000 sebuah.

Ismail berkata semua kenderaan yang disita itu dianggarkan bernilai lebih RM13 juta diseludup serta diklon menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan asal di Malaysia dan yang membezakannya hanyalah nombor chasis dan nombor enjin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pemilik kereta termasuk kereta import diingatkan agar mengambil perhatian terhadap penguatkuasaan peraturan cermin gelap yang baharu bermula 1 Mei depan bagi mengelak tindakan saman.

Peraturan baharu itu menetapkan kadar ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus, manakala kadar VLT bagi cermin hadapan dan sisi pemandu dan penumpang hadapan pula masing-masing kekal pada kadar 70 peratus dan 50 peratus.

Ismail menjelaskan peraturan baharu itu juga bertujuan membantu agensi penguatkuasa terutama Polis Diraja Malaysia dan JPJ menguatkuasakan peraturan tidak memakai tali pinggang kaledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Kedua-dua kesalahan ini merupakan punca utama menyebabkan kemalangan, kematian dan kecederaan terutama kepada pemandu yang mana kita perlu cegah sebelum terjadi," katanya.

SPRM, Klon, JPJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain