suria

Mahkamah Benarkan Bekas Pelajar Cabar Keputusan UPNM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan bekas pelajar jurusan perubatan untuk membuat semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menamatkan pengajiannya atas alasan wanita itu berkahwin.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Mohd Fikah Sanusi dan Dr Zulqarnain Lukman yang mewakili bekas pelajar itu, Nurul Shamimi Zainul Ariffin.

Peguam Kanan Persekutuan M. Kogilanbigamil mewakili pihak UPNM dan Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang dinamakan sebagai responden.

Mohd Fikah ketika ditemui pemberita berkata mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 6 Mei ini untuk pengurusan kes.

Dalam permohonannya, Nurul Shamimi, 23, yang ditawarkan pengajian di UPNM pada 4 Sept 2011 berkata beliau yang dibiayai oleh Kementerian Pertahanan Malaysia berstatus Pegawai Kadet menandatangani perjanjian dengan MAT yang tidak membenarkannya untuk berkahwin sepanjang tempoh pengajiannya.

Bekas pelajar Sarjana Muda Doktor Perubatan itu berkata UPNM menamatkan pengajiannya setelah bersetuju dengan keputusan MAT yang membatalkan pelantikannya sebagai Pegawai Kadet kerana melanggar perjanjian selepas mendapati beliau berkahwin di Thailand pada 2012 ketika berusia 21 tahun.

Nurul Shamimi, yang kini ahli farmasi memohon deklarasi bahawa perjanjian antara beliau dan kedua-dua responden yang menghalang perkahwinannya adalah tidak berperlembagaan, tidak sah serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon perintah deklarasi bahawa keputusan mesyuarat MAT pada 26 Ogos 2014 yang memutuskan bahawa pelantikannya sebagai pegawai kadet telah ditamatkan daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta dikenakan bayaran balik sebanyak RM83,998.66 adalah tidak sah dan tidak berkuat kuasa.

Nurul Shamimi turut memohon perintah deklarasi bahawa keputusan UPNM yang menamatkan pengajiannya dari universiti itu kerana melanggar perjanjian dengan berkahwin adalah tidak sah.

Beliau turut memohon perintah mandamus bagi mengarahkan UPNM membenarkannya meneruskan pengajian dalam jurusan itu sehingga selesai dan menyambung semula penajaan tersebut.

Turut dituntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi tauladan serta faedah lima peratus dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

UPNM, Doktor, Thailand

Artikel Lain