suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Dua Pekerja Ladang Parah Ditetak Rakan Mengamuk

KINABATANGAN: Dua lelaki pekerja ladang cedera selepas diserang rakan sekerja yang mengamuk di Ladang Segar Usaha di sini, Selasa.

Mangsa yang berusia 36 tahun mengalami cedera parah di belakang badan akibat ditetak dengan sebilah parang, manakala rakannya berusia 42 tahun, cedera di rusuk kiri akibat ditumbuk.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata insiden berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi di kawasan perumahan pekerja di ladang itu apabila seorang lelaki berusia 27 tahun tiba-tiba mengamuk dan menyerang mangsa berumur 42 tahun yang ketika itu sedang menunggang sebuah motosikal untuk balik ke rumah.

Katanya lelaki itu menumbuknya di bahagian rusuk kiri dan mengakibatkan dia terjatuh tetapi dapat melarikan diri sebelum lelaki itu mengambil sebilah parang dari motosikalnya.

Lelaki itu kemudian terserempak dangan mangsa berusia 36 tahun yang dalam perjalanan balik dari pejabat ladang lalu menetaknya di bahagian belakang badan, kata A. Sahak dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata lelaki itu kemudian cuba melarikan diri dengan memandu lori milik ladang, bagaimanapun telah melanggar sebuah motosikal yang ditunggangi oleh orang awam.

Katanya lori itu seterusnya melanggar sebatang pokok menyebabkan lelaki terbabit cedera dan dia kemudian berjaya ditangkap pekerja lain di ladang itu lalu diserahkan kepada polis.

A. Sahak berkata mangsa berusia 36 tahun itu dihantar ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi mangsa mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kinabatangan.

Katanya polis turut memperoleh sebilah parang yang digunakan lelaki itu selepas diserahkan oleh orang awam.

Menurutnya punca lelaki itu tiba-tiba mengamuk masih dalam siasatan.

Kinabatangan, Tetak, Mengamuk

Artikel Lain