suria

Seperti Yang Dijangka Tuan Ibrahim Tolak Pencalonan PAS Kota Bharu

Tuan Ibrahim Tuan Man akhirnya tidak tunggu lama untuk mengumumkan keputusannya menolak pencalonan yang dibuat oleh PAS Kota Bharu baginya bertanding jawatan presiden parti itu Jun nanti.

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagaimana yang dijangka telah menolak pencalonan yang dibuat ke atasnya untuk bertanding jawatan presiden sambil menegaskan tindakan yang tidak pernah dilakukan itu tidak wajar untuk perpaduan parti.

“Pencalonan untuk saya itu bukan sahaja mengejutkan malah tidak baik untuk membina perpaduan dalam parti,” katanya sepertimana yang dimuatnaikkan dalam laman Facebooknya.

Menurut beliau adalah wajar untuk mengekalkan tradisi buat masa ini iaitu jawatan utama parti (presiden) tidak ditandingi malah menang tanpa bertanding.

Ia juga untuk memastikan kepimpinan ulama dapat diteruskan dalam parti itu.

Tuan Ibrahim sebaliknya menyeru cawangan-cawangan PAS supaya menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi mereka untuk penyandang jawatan presiden iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pas Kota Bharu pada Isnin telah mencalonkan Tuan Ibrahim untuk jawatan presiden dengan alasan, Hadi berhadapan dengan masalah kesihatan dan wajar direhatkan daripada bebanan dan tanggungjawab mentadbir parti.

Keputusan untuk mencalonkan Tuan Ibrahim itu diumumkan oleh Ketua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Sebaliknya menurut Wan Rahim, Hadi lebih sesuai dilantik mengantikan tempat Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai mursyidul am parti. 

Keputusan Cawangan itu telah mendapat reaksi yang tidak memberansangkan daripada Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan yang juga Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, yang menyifatkannya sebagai tidak patut dan tidak wajar.

"Wan Abdul Rahim tersilap kerana Tok Guru Abdul Hadi akan mempertahankan jawatannya. Bimbingan dan kepimpinannya masih diperlukan oleh parti,” ujarnya lagi.

Abdul Hadi kini berada di Mekah kerana melakukan ibadat umrah dan menurut Mohd Amar, jika Hadi sakit sudah tentulah dia tidak ke Mekah untuk melakukan ibadah umrah.

Mohd Amar yang juga ketua PAS Pengkalan Chepa menegaskan yang mereka akan mencalonkan Hadi bagi mempertahankan jawatannya itu.

Hadi tidak pernah dicabar sejak beliau mengambil alih kerusi presiden daripada Datuk Fadzil Noor pada 2002.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain