suria

Muhammad Shafee Terima RM1,000 Bayaran Ketua Pendakwa Raya Kes Liwat Anwar

Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hanya menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes liwat II membabitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, pendedahan jumlah bayaran berkenaan dibuat selepas persetujuan oleh Jabatan Peguam Negara dan Muhammad Shafee setelah berulang kali perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat. 

Beliau berkata sebelum ini, ia tidak didedahkan bagi menghormati etika perhubungan profesionalisme dan kerahsiaan antara majikan dan pelanggan.

"Ingin saya maklumkan bahawa pendedahan jumlah bayaran bagi perkhidmatan beliau hanya boleh dibuat dengan persetujuan kedua-dua pihak yang terlibat iaitu Jabatan Peguam Negara dan Tan Sri Muhammad Shafee sendiri.

"Sehubungan dengan itu, berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak dimaklumkan bahawa jumlah pembayaran untuk perkhidmatan yang diberikan kepada Tan Sri Muhammad Shafee adalah sebanyak RM1,000," katanya.

Beliau menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) mengenai jumlah perbelanjaan yang dibayar kepada Muhammad Shafee sepanjang kes Anwar dibicarakan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Menjelas lanjut, Nancy berkata, walaupun Muhammad Shafee menolak sebarang pembayaran bagi perkhidmatannya, namun satu persetujuan dicapai bagi suatu pembayaran.

"Beliau tidak mahu menerima pembayaran perkhidmatan yang diberi oleh beliau tetapi kami mahu supaya kami secara telus memberi terma-terma tugas kepada beliau dan dipersetujui ada pembayaran di situ," katanya sekali gus menolak andaian Er bahawa pelantikan Muhammad Shafee menunjukkan Pejabat Peguam Negara mempunyai kakitangan yang lemah untuk mengendalikan kes.

Tambah Nancy, pelantikan itu juga sebenarnya bertujuan mengelak tohmahan oleh pihak tertentu. 

"Muhammad Shafee antara beberapa peguam yang dikenal pasti untuk kendali kes ini bukan kerana Pejabat Peguam Negara tidak mahu mengendalikannya, ini untuk
mengelakkan tohmahan, maka jalan terbaik ialah bagi melantik pihak berkecuali," katanya.

Malah Nancy berkata, Pejabat Peguam Negara sebelum ini juga pernah melantik peguam luar bagi mengendalikan kes pendakwaan.

Mengenai jerayawara yang disertai Muhammad Shafee selepas Mahkamah Persekutuan mendapati Anwar bersalah terhadap kesalahan liwat dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun, Nancy mengakui kerajaan menganjurkan satu jerayawara melibatkan peguam berkenaan.

Bagaimanapun katanya, jerayawara lain yang disertai Muhammad Shafee merupakan jemputan oleh badan bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO politik.

Artikel Lain