suria

MH370: Waris Rakam Penghargaan Kepada Kumpulan SAR

Jacquita (kanan) melihat tandatangan rakan-rakan yang menyokong beliau sempena memperingati tragedi kehilangan pesawat MH370 MH370 di Petaling Jaya pada Sabtu. - fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Waris anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, merakamkan penghargaan tertinggi kepada semua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di selatan Lautan Hindi terhadap usaha berterusan pencarian pesawat yang hilang itu.

Isteri kepada penyelia Penerbangan MH370 Patrick Francis Gomez, Jacquita Gonzalez yang mewakili semua keluarga anak kapal itu berkata mereka mahu mengucapkan terima kasih yang seikhlas-ikhlasnya kepada semua pasukan SAR.

"Kepada mereka semua di selatan Lautan Hindi, terima kasih kepada semua atas usaha berterusan untuk pencarian pesawat.

"Saya tidak tahu bagaimana hendak mengucapkan terima kasih kepada mereka tetapi selepas masa berlalu, saya percaya mereka juga mungkin berasa kecewa kerana proses pencarian masih gagal," katanya pada majlis memperingati ulang tahun pertama kehilangan MH370 di sini Sabtu.

Beliau berkata kenangan setahun yang lalu bersama suaminya masih segar dalam memorinya iaitu pada waktu ini pada tahun lepas, suaminya sedang bersiap ke lapangan terbang untuk penerbangan itu.

"Kami rasa seperti kami sedang menekan butang mandir malam ini, setahun yang lepas kami sedang menikmati makan malam bersama-sama. Semasa waktu itu, mereka sedang menunggu teksi untuk ke lapangan terbang, saya teringat suami saya sedang bermain dengan cucu lelakinya pada waktu ini sebelum pergi ke tempat kerja," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Waris Datuk Hamzah Zainuddin yang hadir pada majlis itu, memberi jaminan bahawa komitmen kerajaan untuk mencari pesawat yang hilang itu adalah pada tahap tertinggi. 

"Tugas saya ialah bersama-sama waris, bersama keluarga anak kapal pesawat dan penumpang, dan saya menyedari betapa pentingnya seseorang daripada kerajaan untuk meyakinkan mereka bahawa kita sentiasa bersama mereka dan saya di sini memberi komitmen penuh kepada keluarga mangsa," katanya. 

Pada 8 Mac 2014, pesawat Penerbangan MH370, membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. 

Pesawat Boeing 777-200ER itu dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Sehingga kini, operasi pencarian di selatan Lautan Hindi - lokasi pesawat dipercayai hilang - meliputi kira-kira 40 peratus daripada 60,000km persegi kawasan pencarian dan 208,000km persegi lautan itu telah dipetakan.

SAR, MH370

Artikel Lain