suria

Ada Usaha Terancang Serang 1MDB

KOTA BAHARU: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata serangan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) didorong pihak tertentu yang mempunyai agenda kepentingan politik.

Beliau berkata serangan, spekulasi dan khabar angin yang sedang berlaku itu bukan hanya memberi kesan negatif kepada 1MDB, malah juga kepada sentimen para pelabur asing.

"Sebarang serangan terhadap 1MDB merupakan satu bentuk serangan ke atas negara juga dan mereka seharusnya bertanggungjawab bagi setiap tuduhan palsu dan fitnah terhadap 1MDB," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspresiasi Petugas Pengurusan Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini, Khamis.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Deloitte, sebuah daripada syarikat perakaunan ternama telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri semalam bahawa disebabkan dakwaan tidak berasas itu, mereka telah menjalankan pengauditan lebih terperinci bagi akaun 1MDB.

"Ini termasuk membawa masuk pakar-pakar forensik untuk memeriksa dokumen yang berkaitan. Deloitte juga menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan akaun 1MDB itu dan bersetuju memperakuinya," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB dan laporan Ketua Audit Negara itu akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersifat dwipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Ahmad Zahid Hamidi, 1MDB

Artikel Lain