suria

APMM Terima Kapal Peronda Kelas Bay Pertama Daripada Australia

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Jumaat secara rasmi menerima kapal ronda Kelas Bay pertamanya daripada kerajaan Australia bagi meningkatkan tahap keselamatan maritim negara, terutama di Selat Melaka.

Ketua pengarahnya Datuk Mohd Amdan Kurish berkata kapal yang dihadiahkan Australia itu akan membantu APMM menangani kegiatan penyeludupan manusia, termasuk mereka yang ingin ke Australia dengan bot.

"Kapal ini juga mencerminkan kekukuhan hubungan dan kerjasama erat yang wujud antara perkhidmatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Australia (ACBPS) serta APMM," katanya pada sidang akhbar selepas upacara penyerahan dan memberi nama kapal berkenaan, yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim di sini.

Turut hadir Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia Peter Dutton dan Ketua Pegawai Eksekutif ACBPS Roman Quaedvlieg. 

Diberi nama 'Kapal Maritim Perwira' kapal berukuran 34.95 meter panjang itu, dilengkapi antara lain dengan unit televisyen litar tertutup dan kemudahan membawa mereka yang ditahan kerana disyaki sebagai pendatang tanpa izin.

Mohd Amdan berkata kapal itu yang akan ditempatkan di Lumut, Perak, akan menjalankan operasi membasmi jenayah rentas sempadan seperti kegiatan penyeludupan manusia melalui 'Ops Redback 3' di wilayah utara Kuala Selangor hingga ke Langkawi, Kedah. 

"APMM dijangka menerima kepal ronda Kelas Bay kedua daripada Australia Mei ini, yang akan ditempatkan di Johor Baharu," katanya.

Sementara itu, bercakap pada sidang akhbar sama, Quaedvlieg berkata kapal berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi untuk membanteras jenayah penyeludupan manusia dan rentas sempadan di laut lepas.

Katanya kerajaan Australia juga menghadiahkan dua kapal ronda Kelas Bay kepada Sri Lanka untuk menjalankan operasi serupa.


APMM, kapal ronda, Kelas Bay

Artikel Lain