suria

Anwar Belum Hilang Kelayakan MP Sehingga Agong Putuskan Petisyen Pengampunan

Tan Sri Pandikar Amin Mulia
PETALING JAYA: Jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh belum terlucut sehinggalah ia diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, ia berikutan petisyen pengampunan yang difailkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar dan Nurul Nuha Anwar.

Beliau turut mengesahkan menerima sesalinan petisyen pengampunan tersebut yang bertarikh 24 Februari 2015.
 
"Memandangkan suatu petisyen telah difailkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, maka kehilangan kelayakan Yang Berhormat Permatang Pauh hanya akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu diputuskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Sehubungan itu saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat hanya boleh mengemukakan pemberitahuan selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja kehilangan kelayakan YB Permatang Pauh sebagai ahli Parlimen mula berkuat kuasa mengikut perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Petisyen pengampunan itu berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 10 Februari lepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Anwar, 67, setelah menolak rayuan akhirnya terhadap hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful, kini berumur 30 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar yang kini ditahan di penjara Sungai Buloh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel Lain