suria

Pascabanjir: "Idea Gila" Bina Rumah Jadi Kenyataan

Ahmad menyempurnakan majlis peletakan batu asas Projek Perumahan Rakyat Budiman (PPRB) di Kampung Tamian pada Selasa. -foto Facebook Suhaizan Kayat

PETALING JAYA: Walaupun hasrat untuk membina semula rumah kepada mangsa-mangsa banjir yang musnah akibat bencana itu pernah dianggap 'idea gila', namun akhirnya projek perintis Perumahan Rakyat Budiman berjaya direalisasikan.

Hanya bersandarkan kepada dana sumbangan orang ramai, projek pembinaan rumah baharu bernilai antara RM37,000 hingga RM40,000 itu kini mula dilaksanakan di Kampung Temiang, jalan di antara Kuala Krai dan Gua Musang.

"Nak bina rumah dengan nilai puluhan ribu ringgit?. Ada orang kata ini satu idea yang paling gila dalam sejarah sebab kita memerlukan jumlah kewangan yang besar.

"Memang kami tak ada rekod, tak ada pengalaman bina rumah. Tapi rakyat beri kepercayaan kepada kita. Daripada duit yang disumbangkan, kita bina rumah mengikut fasa," kata Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat pada majlis ringkas peletakan batu asas rumah penduduk terpilih, Razali Hassan pada Selasa.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, pihaknya berharap usaha itu dapat dijadikan perangsang kepada masyarakat untuk membantu membina semula kehidupan mangsa-mangsa banjir.

"Usaha ini juga bermatlamat untuk menggalakkan individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain supaya bantu.

"Kita perlu jadi perintis kepada projek seumpama ini. Kita beri sedikit sumbangan daripada apa yang kerajaan telah dan sedang buat," katanya.

Tambah Suhaizan, projek ini akan melalui beberapa fasa iaitu fasa pertama mensasarkan lima unit dan akan bertambah mengikut jumlah sumbangan yang diperolehi daripada penyumbang.

Fasa pertama akan siap April 2015, dan fasa kedua akan siap Julai 2015.

Berdasarkan perancangan, kediaman yang akan dibina hasil sumbangan orang ramai ini berkeluasan 34 x 24 kaki persegi, tiga bilik tidur, bilik air, ruang tamu, dapur dan beranda.

Artikel Lain