suria

MH370: Malaysia Tanggung Sebahagian Kos Operasi Kapal Fugro Supporter

Tiong Lai (dua kanan) menyampaikan repika cek kepada wakil dari rumah kebajikan Desa Amal Jireh pada satu majlis penyampaian cek di Kolej University Tunku Abdul Rahman (TARUC) pada Selasa. Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menanggung sebahagian daripada kos operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang menggunakan kapal 'Fugro Supporter' milik Australia.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan Australia dijangka membelanjakan sejumlah AUD120 juta (RM349.6 juta) untuk operasi kapal itu yang dilengkapi dengan peralatan sonar untuk pencarian di dasar laut.

"Sebelum ini tiga kapal digerakkan dalam operasi mencari pesawat berkenaan iaitu 'Go Phoenix', 'Fugro Discovery' dan 'Fugro Equator'.

"Dalam operasi (tiga kapal sebelum ini), Petronas memperuntukkan RM67 juta bagi pihak Malaysia bagi membiayai penyediaan sonar imbasan dan kapal sokongan marin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan cek kepada 16 organisasi kebajikan anjuran 'Civic Consciousness and Volunteerism Project' Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) pada Selasa.

Liow berkata kerajaan akan terus menyalurkan perkembangan terkini operasi pencarian dan khidmat kaunseling kepada anggota keluarga penumpang dan pesawat MH370 di Malaysia dan di Family Communication and Support Centre (FCSC),Beijing, China. 

"Walaupun tumpuan dunia kini kepada operasi mencari dan menyelamat pesawat Air Asia Indonesia QZ8501, kami tetap komited dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak Mac tahun lalu," katanya.   

Operasi mencari Penerbangan MH370 kini memasuki bulan kesembilan sejak iahilang pada 2.40 pagi 8 Mac tahun lepas.

Pesawat membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua bayi itu, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Sementara itu, Liow berkata penemuan perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit AirAsia Indonesia Pesawat QZ8501 akan membolehkan pihak berkuasa Indonesia mengenal pasti punca kejadian dan seterusnya dapat menamatkan spekulasi umum mengenai insiden malang itu.

"Kita perlu sedar bahawa tragedi ini merupakan peringatan tentang betapa pentingnya peningkatan sistem keselamatan penerbangan antarabangsa serta taraf keselamatan penerbangan awam.

"Malaysia terus komited menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan sama adadari segi aset mahupun kepakaran kepada pihak berkuasa Indonesia dan telah mengerahkan tiga kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi usaha pencarian QZ8501," katanya.

Perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui didasar laut dan dibawa naik ke kapal Tentera Nasional-Angkatan Laut (TNI-AL), Indonesia KRI Banda Aceh, pagi Selasa.

Kotak hitam itu ditemui pada koordinat 03" 37.21 S atau 109" 42.42 E dengankedalaman antara 30 hingga 32 meter iaitu berhampiran tempat ekor bangkaipesawat itu ditemui di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun, KalimantanTengah.

MH370, Fugro Supporter

Artikel Lain