suria

Tan Sri Ani Arope Meninggal Dunia

Ani Arope meninggal dunia akibat penyakit barah yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Ani Arope, meninggal dunia pagi Sabtu akibat barah.

Tokoh berusia 83 tahun yang menjalani rawatan di hospital berkenaan meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), kira-kira jam 5.26 pagi.

Allahyarham dikatakan menghidap barah prostat sejak lebih dua tahun lalu.

Dilahirkan pada 17 Mei 1932 di Sungai Bakap, Seberang Prai, Pulau Pinang, Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Saenah Ahmad dan tiga anak selain anak angkat.

Difahamkan, jenazah Allahyarham dibawa ke Balai Islam (TNB) Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, jam 9 pagi bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Shah Alam.

Ucapan takziah boleh disampaikan menerusi Facebook Ani Arope atau Sakinah Ani Arope.

Allahyarham merupakan pengerusi eksekutif TNB dari 1992 hingga 1996 selain pernah menerajui beberapa syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan pelbagai organisasi.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berangkat memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham di Balai Islam TNB dan turut berbuat demikian ialah Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd.

Sementara itu, Ismail berkata, sikap prihatin ayahnya terserlah apabila Allahyarham memiliki lebih 50 anak angkat terdiri daripada pelbagai latar belakang, keturunan dan kaum.

"Anak angkatnya terlalu ramai sampai ada di luar negara, kami sendiri pun tidak mengetahui berapa ramai (jumlah sebenar). Arwah suka menghulur bantuan terutama dari segi bantuan untuk menyambung pengajian," katanya.

Beliau juga berkata, Allahyarham menyembunyikan kanser yang dihidapnya daripada pengetahuan anggota keluarga dan mereka hanya mendapat tahu tentang penyakit yang dihidapi arwah apabila ia sudah di peringkat keempat pada 2010.

"Sejak itu kami sentiasa meluangkan masa bersama dan kenangan paling indah adalah ketika mengerjakan umrah sekeluarga pada 2011," katanya.

Tambahnya, Allahyarham selalu mengingatkan anak-anaknya supaya sentiasa berbakti kepada negara, masyarakat dan agama.

Ani Arope, barah, TNB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain