suria

Air Kelantan Dilengkapi Sistem Berteknologi Tinggi

KOTA BARU: Kelantan kini dilengkapi sistem holistik dan berteknologi tinggi dalam usaha untuk membekalkan air bersih kepada pengguna negeri itu.

Sejak telaga terbuka negeri itu memulakan operasi pada 1940an di Kampung Puteh, beberapa lagi dibuka di seluruh negeri berkenaan.

Pembangunan beberapa tiub telaga seterusnya diuruskan secara sistematik bermula 1970an.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini melaksanakan projek terkini menggunakan pengumpul air mendatar sebagai alternatif kepada sistem tradisional.

Langkah ini bermula berikutan peningkatan permintaan bekalan air di kalangan pengguna.

Pengurus Besar AKSB, Mohamad Hanapi Mahmud berkata, sistem baharu ini menawarkan penambahbaikan yang berkesan dalam pengeluaran air serta menjimatkan dari segi kos pembinaan dan penyelenggaraan.

"Bagi jangkamasa panjang, ia dapat mengurangkan kos kerana pengumpul air mendatar lebih murah dibina, selain memastikan bekalan air yang berkualiti dan konsisten kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata, langkah ini juga seiring dengan sasaran untuk mencapai kadar bekalan air sehingga 85 peratus di seluruh negeri itu menjelang 2020.

"Ketika ini, kadar capaian adalah 65 peratus tetapi kami yakin dapat mencapai sasaran sebelum tempoh ditetapkan itu," katanya.

Ketua Jabatan Perancangan Pembangunan dan Teknikal AKSB, W Mohd Zamri W Ismail berkata, sistem baharu ini akan menggantikan tiub telaga lama dan cetek.

"Teknologi ini berpotensi dan boleh disarankan untuk penggunaan secara meluas di seluruh negara.

"Reka bentuk dan teknologi pengumpul air mendatar ini adalah sebahagian evolusi kejuruteraan dalam teknologi mengabstrakkan air yang tidak pernah digunakan di mana-mana negeri selain Kelantan," katanya.

W Mohd Zamri berkata, teknologi itu juga berupaya dan boleh dikatakan rendah risiko kerana ia tidak memberi kesan terhadap alam sekitar dan dapat berfungsi tanya peralatan tambahan.

"Lebih penting lagi, ia tidak menghasilkan air bertoksik," katanya.

Air Kelantan, bersih, holistik, AKSB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain