suria

Penghantaran Pulang Pekerja Asing Akan Lumpuhkan Industri - MBAM

KUALA LUMPUR: Industri pembinaan akan lumpuh jika kerajaan bertindak menghantar kembali kira-kira 100,000 pekerja asing yang berdaftar di bawah program pengampunan 6P.

Para pekerja tersebut adalah antara lebih 500,000 warga asing yang didaftarkan di bawah program ini sejak Oktober 2011 di mana mereka semua dijadualkan dihantar balik ke negara masing-masing bermula Januari.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Matthew Tee mengeluh bahawa industri sudah menghadapi kekurangan lebih 100,000 pekerja di seluruh negara, sambil menambah kehilangan sebahagian besar tenaga kerja asing yang sudah terlatih akan memberi kesan yang amat buruk.

"Kita masih perlu membawa masuk lebih ramai pekerja asing. Tidak masuk akal untuk menghantar pulang pekerja yang berpengalaman yang sudah berada di sini," kata Tee pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Hadir sama, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Persatuan Kontraktor India Malaysia dan Persatuan Kontraktor Bumiputera.

Tahun lepas, terdapat kira-kira 423,000 pekerja asing dalam industri pembinaan tempatan.

Tee berkata pelbagai percubaan untuk melibatkan diri dan merayu kepada kerajaan bagi membenarkan pekerja asing untuk terus bekerja di sini berakhir tanpa sebarang jawapan.

"Ia akan mengambil masa sehingga lapan bulan untuk membawa masuk pekerja asing baharu dan kemudian kita perlu bermula dari bawah untuk melatih mereka.

"Kita akan akan menerima kesan buruk dari segi produktiviti. Salah satunya, pekerja baharu tidak akan tahu apa-apa mengenai keselamatan pembinaan dan mereka akan mengambil masa untuk membangunkan kemahiran yang diperlukan, " katanya.

Mengenai kemungkinan pekerja tempatan boleh mengatasi masalah ini, Tee, yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan Binapuri Holdings berkata ini adalah tidak praktikal kerana kebanyakan penduduk Malaysia tidak berminat dalam kerja-kerja berat berkaitan dengan pembinaan.

"Satu lagi perkara ialah penduduk tempatan tidak sanggup berpindah dengan kerap. Kontraktor mempunyai projek di kawasan berbeza dan memerlukan pekerja mahir untuk bergerak. Penduduk tempatan mahu ditempatkan di satu tempat," katanya.

Naib Presiden MBAM Chuan Ming Yeong menganggarkan bahawa kos buruh akan meningkat sebanyak kira-kira 40 peratus bagi mengambil dan melatih pekerja baharu. Dia berkata memorandum telah diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri dua minggu yang lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim, ketika dihubungi, berkata semua sektor mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah program 6P itu.

"Kerajaan, seperti yang telah dipersetujui memberikan tempoh tiga tahun kepada semua sektor di bawah program 6P itu. Industri pembinaan juga perlu mematuhi arahan itu dan tidak dibenarkan untuk menjaga pekerja-pekerja asing di luar tempoh yang ditetapkan," katanya.

Mustafa menerangkan bahawa tempoh penangguhan di bawah Program 6P adalah cukup, sambil berkata pelbagai industri mesti bertindak seiring dengan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Sesiapa yang mengambil kerja pekerja asing perlu sedar bahawa pekerja yang didaftarkan di bawah 6P perlu dihantar kembali sebaik sahaja tempoh tiga tahun tiba.

"Jika pekerja tinggal melebihi tempoh, kami bukan sahaja akan tahan mereka tetapi juga menahan majikan," kata beliau.
Program 6P, Pati, Matthew Tee, MBAM

Artikel Berikut

Artikel Lain