suria

Remaja, Kanak-Kanak Lemas Di Terengganu

Anggota Bomba dan Penyelamat menggunakan bot dalam operasi mencari remaja Muhamad Amiro Farhan Alias, 16, yang dipercayai lemas sewaktu mandi di Taman Rekreasi Kuala Ibai pada Ahad. Foto: BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki 16 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki enam tahun, dikhuatiri lemas dalam dua kejadian berasingan berlaku di sini petang Ahad.

Dalam kejadian pertama, mangsa Mohd Amiro Farhan Alias, dari Kampung Binjai Rendah, Marang dikhuatiri lemas selepas mandi pantai berhampiran Taman Rekreasi Kuala Ibai selepas penat memancing bersama rakannya pada pukul 2.30 petang. 

Menurut rakannya, Mohd Syafiq Fikri Shafuding, 20, ketika leka mandi, secara tiba-tiba arus deras dengan diselangi ombak kuat datang dan menghanyutkannya dan mangsa sebelum Mohd Syafiq Fikri sempat menyelamatkan diri. 

"Keadaan menjadi lebih sukar apabila kami terperangkap dalam selut berpasir yang dalam selepas dihempas ombak. 

"Ketika itu saya berjaya tarik diri dan melepaskan diri manakala Amiro pula masa itu terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum ditarik satu arus deras ketengah laut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Mohd Syafiq Fikri, beliau cuba sedaya upaya membantu mangsa namun terhalang disebabkan keletihan sebelum lari meminta bantuan penduduk setempat yang kebetulan melalu kawasan itu.

Sehingga pukul 6 petang ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang diketuai Pegawai Pusat Operasi Bomba negeri, Abdullah Zawawi Mohamed masih diteruskan termasuk menggunakan khidmat pasukan penyelam skuba Bomba. 

Manakala kejadian kedua pula melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Pusara berhampiran Perkuburan Kristian, di sini kira-kira 4.30 petang.

Mangsa Mohammad Zarul Adha Rosmadi, 6, disyaki tergelincir sebelum dihanyutkan arus deras ketika bermain berhampiran longkang itu bersama abang dan sepupunya yang berumur lima tahun. 

Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Ladang Hospital berkunjung ke rumah sepupunya di Jalan Pusara.

Sementara itu Abdullah Zawawi berkata sebaik menerima maklumat, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan bertindak membuat pencarian dengan menyusuri ke dalam longkang tersebut dan sehingga kini operasi mencari menemui jalan buntu. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abdul Rafar ketika dihubungi Bernama mengesahkan dua kejadian itu. 

mangsa lemas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain