suria

Malaysia, AS Meterai Perjanjian Bantuan Bersama Kastam

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia pada Selasa memeterai Perjanjian Bantuan Bersama Kastam (CMAA) yang menjadi bukti signifikan kerjasama keselamatan dan kemudahan perdagangan antara dua negara berkenaan.

Perjanjian itu dimeterai Penolong Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS, Alan Bersin, mewakili AS manakala Malaysia diwakili Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan. 

"Perjanjian Bantuan Bersama Kastam ini menjadi alat penting dalam penguatkuasaan undang-undang kerana membabitkan kemudahan perkongsian maklumat dengan rakan antarabangsa.

"Ia juga boleh meningkatkan aspek penyelarasan dalam usaha memerangi kegiatan perdagangan haram merentasi sempadan selain membolehkan kedua-dua negara melindungi, mengesan dan menyiasat kesalahan Kastam," kata Bersin dalam satu kenyataan, Selasa.

Pemeteraian perjanjian itu turut mencerminkan kekukuhan perhubungan AS-Malaysia serta komitmen dan kerjasama hubungan dua hala sejak beberapa tahun ini.

AS dan Malaysia bekerjasama dalam pelbagai isu termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, keselamatan dan pertahanan serta alam sekitar.

Kerjasama erat itu terbukti menerusi pemeteraian Perjanjian Perkongsian Komprehensif oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden AS Barack Obama, tahun ini.

CMAA adalah perjanjian dua hala kedua-dua negara yang dikuatkuasakan pihak Kastam masing-masing selain menjadi kerangka undang-undang bagi pertukaran maklumat serta kerjasama.

Ia membolehkan Malaysia dan AS menghalang, mengesan dan menyiasat kesalahan Kastam serta jenayah membabitkan barangan merentasi sempadan antarabangsa termasuk mengelak cukai, penyeludupan, pengawalan, penggubahan wang haram dan kegiatan berkaitan keganasan.
Kastam, CMAA, Alan Bersin

Artikel Lain