suria

SEA-PAC Cadang Liabiliti Korporat Tangani Rasuah Sektor Swasta

Abu Kassim Mohamed.

KUALA LUMPUR: Negara-negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) pada Selasa bersetuju mengusulkan kepada kerajaan masing-masing untuk memasukkan peruntukan liabiliti korporat dalam sistem perundangan berhubung rasuah di sektor swasta.

Cadangan itu diputuskan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengetengahkan isu berkenaan dalam mesyuarat ke-10 SEA-PAC di ibu negara pada Selasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, liabiliti korporat memperuntukkan entiti korporat memikul liabiliti bagi perbuatan rasuah atau pelanggaran undang-undang yang dilakukan pekerjanya. 

"Malaysia merupakan negara pertama yang mengetengahkan isu liabiliti korporat di peringkat Asean dan kini dalam proses cadangan memasukkan peruntukan itu dalam Akta SPRM 2009. 

"Kesemua negara anggota SEA-PAC bersetuju untuk berbuat demikian bagi memerangi rasuah di sektor swasta," katanya pada sidang media di akhir mesyuarat dua hari itu di sini, Selasa.

Abu Kassim berkata, jumlah kes rasuah di syarikat-syarikat swasta termasuk yang disenaraikan di Bursa Saham didapati meningkat dari semasa ke semasa. 

Menurut laporan Firma Perakaunan KPMG Tax Service Sdn Bhd (KPMG) menerusi Laporan Tinjau Selidik Penipuan, Sogokan dan Rasuah 2013, kes penipuan dalam perniagaan didapati meningkat sehingga 98 peratus berbanding kajian pada 2009. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Paul Low Seng Kuan pada April lepas berkata, kerajaan akan meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memasukkan peruntukan baharu yang dikenali sebagai Liabiliti Korporat. 

Sebaik sahaja peruntukan itu dikuatkuasakan kelak, sesebuah syarikat boleh dipertanggungjawabkan jika pekerja mereka melakukan rasuah, kecuali syarikat terbabit dapat membuktikan telah mengambil langkah secukupnya untuk mengelak perbuatan rasuah itu daripada dilakukan. 

Pada masa ini, hanya pekerja yang melakukan rasuah didakwa manakala syarikatnya tidak bertanggungjawab bagi jenayah itu. 

Mesyuarat yang bertemakan "Penyiasatan dan Pencegahan Rasuah Dalam Sektor Swasta" dihadiri wakil pihak berkuasa pencegahan dan siasatan rasuah dari Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Kemboja, Filipina, Thailand, Vietnam, Laos, Myanmar dan Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain