suria

Mayat Warga Nepal Ditemui Tergantung Di Bilik Sewa

GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga Nepal ditemui mati tergantung dalam keadaan kedua belah tangan terikat dari belakang di sebuah rumah kedai di Jalan Sri Bahari di sini malam Jumaat.

Mayat Daya Shankar, 34, ditemui tergantung di tiang dinding dalam bilik yang berkunci dari dalam, oleh pemilik rumah kedai itu pada 8.10 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata pemilik rumah kedai itu yang hairan selepas panggilannya tidak disahut selepas agak lama menunggu di luar, kemudiannya memecahkan pintu bilik berkenaan.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan keputusan bedah siasat mendapati sebab kematian lelaki itu ialah akibat terjerut selain tiada kesan luka ditemui pada badannya.
 
"Setakat ini tiada unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kes itu. Mangsa tinggal seorang diri di bilik berkenaan dan bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta mengubungi polis untuk membantu siasatan.
mayat tergantung, warga Nepal

Artikel Lain