suria

10 Rumah Di Sik Rosak Teruk Dilanda Ribut

SIK: Sebanyak 10 buah rumah di lima kampung di daerah Sik rosak teruk terutama di bahagian bumbung setelah dilanda ribut petang Rabu.

Kampung terbabit dalam kejadian kira-kira 5 petang itu adalah Kampung Carok Puyuh, Kampung Tanjong Setar, Kampung Belimbing, Kampung Tanjong Belit dan Kampung Tualang.

Kebanyakan rumah yang dilanda ribut itu diterbangkan bumbungnya ketika kejadian. Tiada mangsa yang mengalami kecederaan.

Mangsa ribut di Kampung Belimbing, Jah Jaafar, 98, berkata dia hanya menyedari kejadian itu apabila bumbung rumahnya diterbangkan ribut.

"Saya tersedar rumah saya cerah dan terpandang bumbung rumah sudah hilang setelah ribut berhenti," katanya.

Untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa ribut itu, Pusat Khidmat Anggota Parlimen Sik menghulurkan bantuan bagi membaiki rumah mangsa seperti zink dan kayu selain bantuan makanan kepada mangsa ribut.

Bagi Fandi Abd Rahman, 31, dia berterima kasih kepada Pejabat Anggota Parlimen Sik yang tampil membantu dengan memberikan zink dan kayu bagi membaiki rumah yang rosak akibat ribut petang Rabu.

"Saya bersyukur kerana keluarga saya terselamat walaupun ribut begitu kencang menerbangkan bumbung rumah kami," katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Anggota Parlimen Sik Abd Kadir Che Ngah berkata sejak petang semalam, pihaknya mengeluarkan bantuan terutama bahan makanan kepada mangsa ribut.

Katanya, pada Khamis bantuan bahan memperbaiki rumah seperti bumbung zink dan kayu dihantar ke rumah mangsa untuk diperbaiki secara gotong royong bersama jiran dan penduduk kampung terbabit.

ribut, Sik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain