suria

11 Ditahan Selepas Serang Penguatkuasa SPAD

LANGKAWI: Seramai 11 orang telah ditangkap kerana cuba menyerang beberapa pegawai penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) termasuk dengan menterbalikkan kenderaan mereka.

Pegawai-pegawai tersebut sedang berada di lokasi sekatan jalan raya di Jalan Lapangan Terbang Padang Mat Sirat ketika kumpulan lelaki terbabit melakukan serangan kira-kira pukul 10.30 pagi Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata salah seorang daripada petugas kemudian membuat laporan polis.

"Kumpulan itu datang dengan beberapa kereta dan kumpulan lebih dari 10 itu mulai mengejek petugas dengan kata-kata kesat dan juga mengancam untuk memusnahkan kenderaan mereka. 

"Kumpulan itu juga cuba untuk menterbalikkan kenderaan," katanya ketika dihubungi, Ahad.

Mohd Nashir berkata terdapat juga letupan yang kuat, dipercayai disebabkan oleh mercun.

"Kami melancarkan operasi bersama di sini dan menahan 11 daripada mereka yang berusia antara 19 dan 35 tahun, pada Sabtu.

"Berdasarkan penyelidikan kami, dua daripada mereka telah menyediakan servis kereta sewa secara haram dan sembilan lagi bekerja untuk agensi pelancongan," katanya.

Semua suspek telah ditahan.

Kes itu disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan kerosakan.

Mohd Nashir juga memberi amaran bahawa polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menghalang pegawai penguatkuasa daripada menjalankan tugas mereka.
SPAD, Mohd Nashir Ya

Artikel Lain