suria

APMM Sabah Rampas Rokok Pelbagai Jenama Bernilai RM1.4 Juta

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan merampas rokok pelbagai jenama bernilai RM1.41 juta yang cuba diseludup masuk ke Sabah menggunakan bot melalui perairan Sipitang malam Jumaat.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Wan Mohd Affandi Wan Ahmad berkata rokok yang disimpan di dalam kotak yang belum didedahkan jumlahnya dirampas ketika ia sedang dipunggah di sebuah jeti haram di Sungai Marintaman.
 
"Bot APMM mengesan sebuah bot pancung berkuasa tinggi kira-kira jam 8.15 malam dalam keadaan mencurigakan bergerak masuk ke kuala Sungai Marintaman dan tiba di sebuah jeti haram sebelum memunggahkan beberapa kotak yang dipercayai mengandungi rokok,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek di jeti yang menyedari kehadiran pihak APMM melarikan diri ke arah hutan bakau berhampiran manakala yang berada di dalam bot melarikan diri ke arah laut.

Katanya, sebuah lori tujuh tan yang dipercayai cuba digunakan untuk mengangkut rokok seludup ke destinasi yang belum dikenal pasti turut disita untuk mambantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan dirujuk kepada pihak kastam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Wan Mohd Affandi berkata pada Mei tahun ini juga, APMM menggagalkan tiga cubaan menyeludup masuk arak dan rokok tanpa duti kastam di perairan barat Sabah dengan nilai dianggarkan RM1.8 juta.

APMM, rokok

Artikel Sebelum

Artikel Lain