suria

2 Pembantu Perubatan Maut Kemalangan

ALOR SETAR: Dua pembantu perubatan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di kilometer 59.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah ke utara, di Pendang awal Jumaat.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa Muhamad Aslam Mat Yazid, 22, dari Kampung Banggol Setol, Pasir Mas, Kelantan dan Yusniza Mohammad Yusoff, 23, dari Kampung Gaung Tendong, Pasir Mas, Kelantan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Abd Aziz Ahmad berkata pemandu kereta jenis Toyota Vios itu iaitu Muhamad Aslam dikatakan gagal memotong treler yang berada di lorong kiri sebelum merempuh belakang treler tersebut.

Beliau berkata akibat rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian hadapan kereta itu remuk teruk dan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk bahagian hadapan menyebabkan kecederaan parah pada bahagian badan.

"Tiga kenderaan lain turut terlibat dalam kemalangan kecil setelah berlanggar sesama sendiri bagi mengelak daripada merempuh kenderaan mangsa. Pemandu serta penumpang (tiga kenderaan lain) tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Jalan Raja, Fazil Yahaya berkata tujuh anggotanya mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan lewat petang ini.

Muhamad Aslam bekerja sebagai Pembantu Perubatan di HSB dan Yusniza pula juga bertugas sebagai Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Simpang Empat di sini.


Pembantu Perubatan, Kemalangan

Artikel Lain