suria

2.47 Juta Peminjam Nikmati Kemudahan PTPTN Sejak 16 Tahun Lepas

KOTA KINABALU: Sejak beroperasi lebih 16 tahun, sebanyak 2.47 juta peminjam menikmati kemudahan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan peruntukan RM56.6 bilion sehingga akhir bulan lepas.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN Mastura Mohd Khalid berkata daripada jumlah itu, sebanyak 150,918 merupakan peminjam dari Sabah yang melibatkan peruntukan RM3.65 bilion.
 
"Ternyata kewujudan PTPTN adalah selaras dengan objektif utama penubuhannya iaitu memastikan pembiayaan efisien disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi selaras dengan hasrat kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis mesra pelanggan PTPTN di sini, hari ini.

Mastura berkata budaya membayar balik pembiayaan PTPTN juga mula meningkat hasil pelbagai program kesedaran dan tindakan penguatkuasaan serta sokongan padu masyarakat.
 
"Buktinya jumlah kutipan bayaran balik sentiasa meningkat setiap tahun iaitu untuk 2011, PTPTN berjaya mengutip RM737 juta, 2012 (RM800.47 juta) dan 2013 (RM1.2 bilion). Secara keseluruhan sehingga 31 Ogos lepas, RM5.36 bilion berjaya dikutip melibatkan 990,915 peminjam," katanya.

Selain itu, Mastura berkata 22,150 peminjam diluluskan pengecualian bayaran balik kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya yang melibatkan pelupusan ke atas jumlah pembiayaan pendidikan RM603.1 juta, sehingga 31 Ogos lepas.

Bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) yang diperkenalkan pada 2004, katanya, sehingga 31 Ogos lepas, terdapat 2.085 juta akaun dengan deposit berjumlah RM1.2 bilion.
 
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 112,883 akaun dengan jumlah deposit RM44.34 juta adalah dari Sabah," katanya.

Dalam konteks Sabah, Mastura berkata pihaknya melebarkan perkhidmatan dengan membuka pusat sehenti di Bangunan Warisan Square, Kota Kinabalu yang beroperasi pada 24 Dis 2012 dan menubuhkan Pejabat Cawangan Tawau pada 13 Jan lepas.
 
"Sehingga kini, sejumlah 35 agensi kerajaan dan swasta menyertai program Sahabat PTPTN di Sabah. PTPTN juga mengadakan promosi 'Meriahnya Hari Raya Bersama PTPTN' di semua pejabat PTPTN negeri termasuk sambutan selama sebulan di Sabah mulai 14 Julai hingga 15 Ogos lepas," katanya.

Pada majlis itu, 30 pemenang menerima hadiah cabutan bertuah sempena program berkenaan.

PTPTN

Artikel Lain