suria

Pendaftaran Perniagaan Untuk GST Selepas 31 Disember Dikenakan Denda

Chua Tee Yong.
KOTA KINABALU: Syarikat yang mendaftarkan perniagaan mereka bagi pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selepas 31 Disember ini akan dikenakan denda, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata perniagaan yang tidak didaftarkan untuk GST juga akan menyebabkan syarikat tidak dapat menuntut cukai input yang akan menjejaskan urusan penyelenggaraan dan pengeroperasian perniagaan syarikat itu sendiri.

"Selain itu, kita berharap mereka (syarikat) mendaftar sebelum 31 Disember supaya mereka dapat terlibat dalam program kendalian pihak Kastam. 

"Ini penting kerana sebuah perniagaan, selepas membuat pendaftaran, perlu mempunyai masa untuk menilai dan mengkaji dari segi bagaimana GST akan memberi impak atau bagaimana GST akan dilaksanakan dalam perniagaan mereka," katanya.

Chua berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program dialog mengenai pemahaman GST bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah di sini Isnin. 

Hadir sama naib presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah Datuk Susan Wong.

Mengenai pencapaian proses pendaftaran setakat ini, Chua berkata pendaftaran harian yang diterima ialah sebanyak 1,500 di seluruh negara dan usaha berterusan sedang dilakukan bagi meningkatkan kadar berkenaan antara 2,000 hingga 2,500 syarikat setiap hari.

Chua berkata sehingga Ahad, sebanyak 44,500 syarikat sudah berdaftar di seluruh negara berbanding sasaran 140,000 syarikat sehingga akhir tahun ini.

Sebanyak 300,000 syarikat layak mendaftar dengan GST di seluruh negara, katanya.

Mengenai pengaruh GST terhadap kemungkinan perbezaan harga barang di Sabah dan Semenanjung selepas pelaksanaan sistem cukai itu kelak, Chua berkata GST cuma antara komponen yang mempengaruhi harga di pasaran dan komponen termasuk kadar tukaran mata wang, bekalan dan permintaan serta gaji.

Chua Tee Yong, GST, denda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain