suria

Jadual Abbott Dijangka Padat Ketika Melawat Malaysia

Tony Abbott
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mempunyai lebih daripada kepentingan strategik yang difikirkan apabila beliau tiba di Malaysia pada Sabtu.

Tugasan rasmi beliau termasuklah menyampaikan ucapan kepada Majlis Perniagaan Australia Malaysia dan mempromosikan New Colombo Plan (Pelan Colombo Baharu), inisiatif baharu kerajaannya untuk menjalin hubungan lebih rapat antara pendidikan Australia dan Asia-Pasifik.

Walau bagaimanapun, kepentingan yang lebih besar sudah tentulah kemas kini Abbott terhadap usaha carian berterusan penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi.

Lawatan sehari beliau ini berikutan memorandum persefahaman yang ditandatangani antara Australia dan Malaysia untuk berkongsi apa yang telah diistilahkan sebagai "misteri terbesar penerbangan moden" yang dianggarkan menelan kos $52 juta (RM153.4 juta).

Usaha carian selama berbulan-bulan telah gagal mengesan pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang pada 8 Mac, selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Abbott, yang bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak di Perth semasa fasa awal operasi carian pada bulan April, akan memberi taklimat kepada rakan sejawatannya dari Malaysia mengenai fasa carian baharu, yang dijangka mengambil masa sehingga setahun.

Ia akan memberi tumpuan kepada bahagian dasar laut seluas 60,000 km persegi, dengan jarak 1,600 km dari Perth.

"Hubungan pertahanan Australia dengan Malaysia adalah antara yang paling erat di Asia Tenggara, membolehkan kami berkongsi pengalaman daripada bencana MH370 dan MH17," kata Abbott di Canberra.

"Ramai rakyat Malaysia telah belajar di Australia dan tidak lama lagi kita akan menyaksikan lebih ramai rakyat Australia melakukan sebaliknya apabila Malaysia menyertai New Colombo Plan pada 2015," katanya.

Di bawah pelan A$100 juta (RM292 juta) itu, pelajar Australia yang menjalankan ijazah sarjana muda di universiti mereka akan dapat untuk memohon geran dan biasiswa untuk belajar di Asia Pasifik.

Artikel Sebelum

PAS Akan Pertahan Unit Amal

Artikel Lain