suria

Pengguna Belum Bersedia Guna Tol Elektronik Di Sungai Rasau, Batu Tiga

Lorong tunai masih menjadi pilihan kebanyakan pengguna lebuh raya.
SHAH ALAM: Rata-rata pengguna Lebuhraya Persekutuan dilihat masih tidak bersedia untuk mempraktikkan kaedah bayaran tol secara elektronik di Plaza Tol Sungai Rasau dan Plaza Tol Batu Tiga.


Melalui pemerhatian yang dilakukan selama dua jam oleh Bernama di kedua-dua tol berkenaan, masih kelihatan ramai pengguna memilih menggunakan kaedah tunai untuk membayar tol.

Tinjauan juga mendapati kenderaan beratur panjang di laluan tunai dan keadaan menjadi bertambah sesak terutamanya ketika waktu tengah hari.

Seorang pengguna, Mohd Sufian Jamaludin, 30, ketika ditemui berkata penangguhan perlaksanaan tol elektronik merupakan satu tindakan yang wajar diambil kerana masih ramai pengguna belum bersedia ke arah itu.

Katanya lagi, pihak PLUS Malaysia Berhad (Plus) perlu memikirkan cara lain yang lebih berkesan bagi mengatasi kesesakan di kedua-dua tol berkenaan.

Dalam tinjauan itu juga, didapati pondok jualan kad PLUSMiles dan Touch 'n Go yang didirikan berhampiran kedua-dua plaza tol berkenaan kurang mendapat sambutan daripada pengguna.

Lembaga Lebuhraya Malaysia dalam kenyataannya yang bertarikh 29 Ogos lepas mengatakan Kementerian Kerja Raya telah mengarahkan Plus agar menangguhkan perlaksanaan pembayaran tol sepenuhnya melalui cara elektronik di kedua-dua plaza tol berkenaan yang sepatutnya bermula Isnin kepada tarikh yang akan diumum kelak.

Menurut kenyataan itu penangguhan berkenaan dilakukan untuk memberi peluang kepada lebih ramai pengguna mendapatkan kad PlusMiles, Touch 'n Go dan SmartTAG.

Pada masa sama ia juga bertujuan untuk membiasakan pengguna menggunakan kaedah transaksi itu terlebih dahulu.


 

tol, Sungai Rasau, Batu Tiga

Artikel Sebelum

Artikel Lain