suria

Kongres PKR: Wan Azizah Boleh Jadi MB Tanpa Sokongan PAS

SHAH ALAM: Cita-cita Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadikan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu boleh dilaksanakan walaupun tanpa sokongan PAS.

Naib Presiden PKR yang baharu, Mohd Rafizi Ramli berkata, Dr Wan Azizah sudah mempunyai sokongan majoriti mudah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

"Walaupun tanpa surat sokongan PAS, kita mempunyai majoriti yang jelas," katanya merujuk kepada baki 13 wakil rakyat PAS Selangor yang belum menandatangani Surat Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Dr Wan Azizah.

Hingga kini Pakatan Rakyat Selangor mempersembahkan 30 SD kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan pendirian supaya penyandang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digantikan.

Tiga puluh SD yang dipersembahkan sebelum ini ditandatangani 13 wakil rakyat PKR, 15 daripada DAP dan dua lagi daripada PAS.

Selain itu, Rafizi yang juga bekas Pengarah Strategi PKR ketika 'Langkah Kajang' dimulakan untuk menggulingkan Khalid memberi peringatakan kepada ahli parti supaya bersiap-sedia jika pilihan raya negeri Selangor terpaksa diadakan.

Katanya, ahli PKR tidak boleh memandang ringan kemungkinan itu kerana perkara tersebut boleh berlaku jika Khalid tetap berdegil untuk tidak melepaskan jawatannya.

"Tapi saya nak ingatkan Tan Sri Khalid supaya jangan sabotaj rakyat dengan membubarkan DUN (Dewan Undangan Negeri). Undurlah dengan baik.

"Bagaimanapun, kita sebagai anggota parti perlu bersedia dari sekarang jika pilihan raya negeri diadakan," katanya.


Artikel Lain