suria

MH17: Mangsa Warga Malaysia Ke-31 Dikenal Pasti

Datuk Seri Liow Tiong Lai
SEPANG: Satu lagi mangsa terbaharu warga Malaysia dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dikenal pasti dan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 31, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ahad.

Beliau berkata kerajaan sedang mengatur untuk membawa balik kumpulan ketiga jenazah mangsa MH17 pada 30 Ogos.

"Kami akan terus mengemas kini maklumat kepada orang awam untuk ketibaan jenazah dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi bagi kumpulan kedua MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Ahad.

Ditanya sama ada usaha membawa pulang kesemua mangsa warga Malaysia boleh dilakukan sebelum Hari Malaysia pada 16 September, Liow berkata ia masih tidak dapat disahkan lagi kerana perlu mendapat pelepasan daripada pihak Belanda.

"Kita masih tidak boleh mengesahkan lagi. Kita tidak tahu sama ada pihak Belanda boleh mengenal pasti kesemua jenazah," katanya.

Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas. 

Pada Ahad, kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi tiba di tanah air, dan dua daripadanya diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh penghormatan.

Bagaimanapun satu jenazah yang dibawa balik hari ini tidak mengikuti istiadat penghormatan atas permintaan keluarga yang mahukan privasi.

Liow berkata kerajaan menghormati permintaan waris dan keluarga yang mahukan privasi dan tidak terlibat dalam istiadat penghormatan.

"Kami sedar terdapat keluarga yang mahukan privasi...Apa yang kami aturkan adalah mengikut permintaan keluarga," katanya.

Liow berkata kos pengurusan membawa pulang jenazah warga Malaysia dibiayai Malaysia Airlines.

Pesawat MH17, dengan 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. 

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di zon bergolak itu namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Mh17, mangsa, Liow Tiong Lai

Artikel Lain