suria

PRK Pengkalan Kubor: Notis Kekosongan Kerusi DUN Diserah Kepada SPR Hari Ini

KOTA BAHARU: Notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar pada Rabu lepas akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada Ahad.


Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub berkata, penyerahan notis itu bagi membolehkan SPR membuat tindakan selanjutnya untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN itu.

"Saya telah menerima sijil kematian Allahyarham Noor Zahidi dan saya umumkan kekosongan DUN Pengkalan Kubor hari ini (Ahad).

"Sekarang terserah kepada SPR untuk menetapkan tarikh pilihan raya dan tarikh penamaan calon dalam tempoh 60 hari bermula hari ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Ahad.

Beliau berkata, surat warta kekosongan perlu dihantar kepada SPR bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia diwartakan.

Noor Zahidi, 57, meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China pada 5.45 pagi, Rabu lepas.

Allahyarham merupakan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.


Artikel Lain