suria

Umno Pokok Sena Iftar Bersama 40 Murid Asrama Khas SK Jabi

ALOR SETAR: Sebanyak 40 murid dari Asrama Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, Pokok Sena diraikan dalam majlis berbuka puasa di Hotel Seri Malaysia di sini, malam Isnin.


Timbalan Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Datuk Ariffin Man berkata, majlis yang diadakan setiap tahun itu adalah komitmen berterusan daripada pihaknya dan kerajaan negeri yang sentiasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini.

"Tujuan kita adakan majlis berbuka puasa ini adalah untuk meraikan anak-anak yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan hiperaktif ini bagi menunjukkan bahawa kita mengambil berat dan prihatin terhadap mereka.

"Saya lihat anak-anak ini cukup teruja dan gembira kerana dapat berbuka puasa di hotel. Apabila melihat reaksi mereka ini, saya rasa pihak-pihak yang berjaya di luar sana perlu mengambil peluang untuk meraikan golongan kurang bernasib baik ini bagi menggembirakan mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, orang ramai perlu memainkan peranan penting dalam memberi bantuan kepada golongan ini kerana jika tidak perkara seperti yang dihadapi oleh adik Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini boleh berulang lagi.

"Dalam dunia yang serba maju ini sepatutnya kejadian seperti itu tidak berlaku dan bagi memastikan ia tidak berulang kepada mana-mana pihak, masyarakat perlu bertanggungjawab dan prihatin dengan keadaan sekeliling," kata Ariffin.

Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan peribadi kepada murid-murid berkenaan diikuti dengan cenderahati daripada pihak hotel.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Zulkifli Idris sekolah berkenaan berkata, murid sekolah itu akan dijemput setiap tahun oleh pihak yang berbeza untuk berbuka puasa di hotel bagi menggembirakan mereka.

"Ada antara murid-murid ini yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran dan kurang berkemampuan. Tetapi hampir separuh daripada murid-murid yang dipilih untuk berbuka ini merupakan anak-anak yang kurang mampu.

"Apabila diberi peluang untuk berbuka puasa di tempat yang besar dan mewah seperti di hotel ini sudah pasti mereka gembira," katanya.


Artikel Berikut

Artikel Lain